::Mahasiswaku Yang Bacul::

Petikan Persoalan Buat Mahasiswa

Saya pernah terbaca tulisan Ahmad Lutfi Othman, beliau menyifatkan mahasiswa negara memerlukan ‘korban’ dalam perjuangannya; maksudnya korban dari kalangan aktivis seperti insiden Trisakti di Indonesia. Menurut hemat anda, adakah teori beliau ini ada kebenarannya ke arah mencetuskan perubahan politik negara yang lebih bermakna? – Wiji Tukul Jr, Kedah

Jawapan Oleh :

Helman Sanuddin
Mantan Setiausaha Agung MPPUiTM 1999/2000. Salah seorang daripada mangsa ISA7.

Tragedi Trisakti di Indonesia pada 12 Mei 1998 telah mengorbankan empat mahasiswa Trisakti, iaitu Elang Mulia Lesmana, Hery Hartanto, Hendriawan Sie, dan Hafidin Royan. Demonstrasi berdarah ini mengulangi sejarah hitam perjuangan Mahasiswa menuntut demokrasi di Medan Tiananmen, China pada tahun 1989 yang mengorbankan ribuan nyawa dihujung senjata api tentera pemerintah.

Di Malaysia, mahasiswa belum lagi melalui tragedi kejam sebegitu. Namun kita juga tidak terlepas dari ancaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang satu ketika dahulu pernah menguji kekentalan pemimpin mahasiswa seperti Anwar Ibrahim. Pada 5 dan 6 Julai, tahun 2001 pula, Sdr. Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Presiden MPPUM Sdr. Mohamad Fuad Ikhwan telah menjadi mangsa kekejaman ISA.

Sebelum Itu, pada 8 Jun 2001, 7 mahasiswa (ISA 7 – Rafzan, Helman, Khairul Amal, Ahmad Kamal, Zulkifli, Nik Norhafizi dan Wan Sanusi) telah ditahan dibawah Akta Polis kerana dituduh menyertai Perhimpunan Haram membantah AKTA ISA.

Peristiwa – peristiwa ini dilalui mahasiswa dalam dua perspektif berbeza. Kedua – dua peristiwa yang berlaku di luar Negara telah berjaya membakar semangat Mahasiswa hingga berjaya menumbangkan regim pemerintah di Negara masing – masing. Pengorbanan yang dilakukan oleh teman – teman mereka disambut dengan semangat penuh setiakawan dan pengorbanan heroic ini telah menjadi inspirasi kepada kejayaan mahasiswa selepas itu.

Mengikut pemerhatian saya, secara jujur saya katakana bahawa di Malaysia, usaha Kerajaan mengunakan sistem perundangan dilihat amat berjaya dalam meredakan gelombang badai yang ditiupkan oleh idealisme mahasiswa. Penangkapan ISA 7 dan 2 orang lagi mahasiswa selepas itu, telah berjaya melongggarkan keyakinan dan semangat setiakawan mahasiswa.

Mahasiswa diracuni dengan ugutan dan ancaman. Keluarga pimpinan mahasiswa diganggu dan ditakut – takutkan oleh pihak berkuasa. Universiti pula cuba membuang dan mengantung pimpinan mahasiswa yang dilihat terkehadapan dalam membantah dasar – dasar kerajaan dan cenderung menyokong idea pembangkang.

Setelah hampir 4 tahun berlalu, semangat juang mahasiswa berada dalam paras kritikal. Mereka tidak melihat bahawa penglibatan mereka dalam adunan sebuah gerakan mahasiswa dapat menjaminkan kelangsungan masa depan mereka yang gilang – gemilang. Gambaran masa depan yang suram yang kononnya menjadi balasan kepada pemimpin mahasiswa yang engkar serta enggan bersyukur dan berterima kasih pada kerajaan dijaja ke serata Negara.

Keadaan ini akhirnya berjaya melumpuhkan kegiatan apa yang kita gelarkan sebelum ini sebagai Gerakan Mahasiswa Lantang, Mahasiswa Pembela Rakyat dan sebagainya. Mahasiswa menjadi seperti tikus yang disuntik ubat pelali, lemah dan tidak bermaya. Dikurung didalam Universiti, dilarang bercakap tentang isu – isu politik, diharamkan mendengar ceramah politik, pemimpin pembangkang diblacklisted dari memasuki kampus.

Secara keseluruhannya, Mahasiswa di Malaysia amat mudah ditakutkan berbanding mahasiswa diluar Negara yang lebih bersikap proaktif dan lantang dalam erti kata sebenar walaupun mereka juga menerima tekanan yang lebih teruk lagi. Mahasiswa Malaysia amat selesa umpama ayam yang diternak. Jika disembelih mereka mengikut, jika tidak disembelih mereka akan teruskan dengan aktiviti makan dan berak sahaja. Walaupun ada yang cuba bersikap seperti ayam kampung yang berani meredah setiap denak perjuangan namun mereka – mereka inilah yang akhirnya terpaksa mengorbankan diri untuk meneruskan suara mahasiswa.

Justeru itu, mahasiswa Malaysia perlu bangkit dari kegagalan ini dan melihat dunia melalui skrin yang lebih besar. Untuk itu, mahasiswa Malaysia perlu berubah sikap sebagai golongan yang tidak mementingkan tali perut sendiri dan sedia untuk berjuang mempertahankan semangat setiakawan dan juga warga rakyat. Rakyat akan menghargai dan menyediakan tempat bagi pimpinan mahasiswa yang berani kehadapan dan melaungkan suara keramat mahasiswa menggugat yang sebelum ini menjadi simbol api perjuangan mahasiswa.

Kekuatan dan kebangkitan secara bersama semua kelompok mahasiswa di Malaysia sebenarnya mampu untuk menggugat Kerajaan dan juga massa, mahasiswa mampu untuk menjadi pencetus kebangkitan dan pembela rakyat. Cuma kini, kita perlukan ramai lagi mahasiswa yang berani tampil kehadapan untuk memimpin dan bersuara serta berkorban untuk rakyat.

Jika ada yang bertanya apakah yang akan mereka dapat setelah diri mereka dikorbankan…saya secara peribadi telah melalui pengalaman ini, dihumban ke lokap, dibicarakan selama 4 tahun, dinafikan hak sebagai pelajar dan digantung pengajian hampir 4 tahun lama. Pengalaman ini menjadi satu sejarah yang mendewasakan dan menguatkan lagi azam perjuangan saya. Berbekalkan keyakinan bahawa rezeki, dan ajal maut itu sudah tersedia sebelum diri ini dilahirkan, maka tiada apa yang saya perlu risaukan. Selagi kita mengikut jalan yang benar, insya Allah rezeki Allah itu akan tetap mengalir sampai kepada kita walaupun ada yang cuba menghalang, malah lebih baik lagi dari orang – orang yang tidak berani untuk melalui takdir yang penuh cabaran ini.

Ali Bukhari Amir
Aktivis gerakan mahasiswa USM. Sebelum ini pernah menjadi editor majalah Kampus.
 

Dalam Islam, ‘korban’ ialah sejenis ujian yang menentukan tahap iman seseorang. Tuhan berfirman, “Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan bebas untuk berkata, “Kami beriman”, padahal mereka belum diuji?” (al-Qur’an). ‘Korban’ itu muncul seawal peradaban manusia berasaskan konflik Habil – Qabil yang mengorbankan hasil ternakan dan tanaman mereka.

Dalam kes Habil – Qabil, perintah pertama ke atas mereka – korbankan sebahagian daripada hasil tanaman dan ternakan. Maka korban ternakan haiwan itu diterima dengan sebab keikhlasan Habil. Lalu, tradisi pengorbanan melalui ‘darah–daging’ (haiwan) inilah yang terpilih lalu dicubai pula ke atas Nabi Ismail a.s dan Nabi Ibrahim a.s.

Takdirnya, kedua-dua mereka berjaya lalu tradisi pengorbanan ‘darah dan daging’ ini terus diikuti oleh seluruh umat manusia pada hari ini. Allah s.w.t telah memuliakan mereka sehingga setiap pergerakan mereka dijadikan salah satu syariat yang diikuti oleh tiap-tiap manusia yang mengaku Muslim.

Perilaku Siti Hajar yang berlari-lari anak antara bukit Safa dan Marwah, misalnya jadi contoh ikutan yang dinamakan saie. Allah memberikan kemuliaan kepada wanita ini lantaran pengorbanannya dan ketaatan kepada suami ketika diperintahkan untuk menetap di padang pasir yang tandus dari sumber makanan dan minuman.

Tindakan Nabi Ibrahim a.s melontar batu kepada Iblis di Jamrah, turut mendapat penghormatan sehingga Tuhan merakamkan sebahagian daripada tindakan mereka untuk diabadikan dalam ibadat-ibadat haji dan umrah; satu-satunya amal ibadat yang ditiru dari perlakuan mereka. Manakala puasa, solat dan zakat, bukannya terbit dari perilaku insan.

Selanjutnya, Nabi Ismail a.s yang menyerahkan diri kepada ayahnya Nabi Ibrahim a.s untuk dikorbankan, akhirnya menjadi amalan seluruh umat Islam hingga kini di mana mereka mengorbankan haiwan ternakan mereka sebagai mengingati hal itu.

Di sana ada hadis mengenai kisah Ashabul Ukhdud yang berkaitan dengan surah (al-Buruj: 4 – 8). Seorang kanak-kanak lelaki yang pada asalnya dilatih dengan ilmu sihir dan akhirnya menemui jalan Tauhid setelah berguru kepada seorang rahib. Kanak-kanak ini tidak mati walaupun dibunuh pelbagai cara. Sebaliknya, beliau sentiasa pulang istana sambil menyeru raja agar bertauhid kepada Allah.

Setelah buntu, akhirnya budak ini memberikan jalan untuk membunuhnya dengan syarat, sang raja mengumpulkan orang ramai di sebuah padang lalu menikamnya dengan tombak sambil berkata: “Dengan nama Allah, Tuhan budak ini”. Pada akhir cerita,rakyat memilih jalan Tauhid setelah budak ini hanya syahid atas nama Allah. Raja gementar lalu memerintahkan sebuah parit besar dengan api menjulang di dalamnya disediakan untuk menyiksa semua rakyatnya agar kembali kepada agama asal. (Sunan Tarmizi, hadis 3340, Kitab Tafsir al-Qur’an, Sahih Muslim, hadis 3005, Kitab Zuhud wa Ar-Raqa’iq, Bab 17).

Di sini, ramailah yang terkorban hanya kerana beriman seperti yang diimani oleh budak tersebut. Hal ini menjadi bukti bahawa kekuatan ‘darah’ – ‘daging’ atau terkorban menempuh kematian oleh anak muda demi mereformasikan Tauhid serta merevolusikan aqidah telah mendapat penghormatan besar daripada Allah s.w.t hingga sejarahnya turut dirakamkan di dalam al-Qur’an.

Dalam alam Melayu, dikisahkan oleh Tun Seri Lanang melalui Sulalatus Salatin bahawa idea seorang budak telah menyelamatkan Singapura yang sedang diancam todak akibat kezaliman penguasa membunuh Tun Jana Khatib. Namun, hayat budak ini tidaklah lama kerana dia mati dibunuh selepas penguasa dihasut oleh para pembesar yang dengki.

Tiada hadiah sepersalinan baju dari pihak istana kepadanya seperti adat penguasa Melayu memberikan anugerah kepada sesiapa yang berjasa kepada bangsanya, melainkan darahnya sendiri yang dengan sewenang-wenangnya ditumpahkan. Ertinya, korban dalam konteks pertumpahan darah, lazimnya melahirkan peristiwa besar yang akhirnya menukar sudut dan cara pandangan, persepsi serta tanggapan manusia terhadap beberapa nilai yang difikirkan kukuh oleh mereka selama ini.

Sesungguhnya, ‘pengorbanan’ memerlukan ketahanan mental, kekuatan jiwa serta kepercayaan kepada diri sendiri terhadap apa yang ingin diperjuangkan.Ia bukanlah boleh dibuat-buat, dilakonkan kepada khalayak bahawa kita ini memang bersedia berkorban

Sebab itulah, Islam mewajibkan ibadah haji kepada mereka yang ‘mampu’ kerana ia memerlukan keazaman, kesabaran dan pengorbanan. Hal ini kerana, tidak semua orang mampu berkorban, terkorban dan dikorbankan. Manusia yang telah bersedia dikorbankan dianggap mulia kerana mereka sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa di mana pada ketika itu, tiada manusia lain yang sanggup kehilangan jiwa, harta dan lain-lainnya.

Mereka boleh jadi hilang segala-galanya. Dalam konteks yang kita bicarakan ini, mahasiswa yang berkorban diri mendepani keangkuhan penguasa dan pentadbir universiti akan menanggung risiko hilang maruah di mata khalayak, pekerjaan, pelajaran dan lain-lainnya di masa depan. Hanya keyakinan kepada Allah s.w.t adalah sebaik-baik bekalan.

Dalam al-Qur’an, Allah s.w.t berjanji bahawa sesiapa yang membantu agamaNya, maka mereka pasti akan dibantu serta diperteguhkan dirinya. Dan mereka yang berjuang dengan kefahaman ini pastilah tidak takut dengan celaan orang yang mencela, nistaan orang yang menista dan cercaan orang yang mencerca, demikian kata al-Qur’an.

Akan tetapi, teori ‘darah – daging’ itu harus dipraktikkan secara bijaksana. Jangan sampai tindakan kita ditafsirkan dari sudut agama sebagai perbuatan membunuh diri. Kita hendaklah benar-benar menjadikan kematian kita sebagai syahid. Nyawa dan jiwa hanya sekali seumur hidup. Oleh itu, jika mahu korbankan jiwa, maka pastikan ia benar-benar di atas urusan agama, bangsa dan tanahair.

Untuk membuat perubahan, maka seseorang perlu dikorbankan. Jika kita terpilih, seharusnya kita telah pun bersedia untuk menjayakan cita-cita revolusi. Tetapi, berapakah orang yang sanggup menjadi lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain?

Advertisements

~ by adielflitzow on August 11, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: